Wednesday, April 8, 2009



Kes Norman-Memey kelam-kabut - Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak tiba-tiba tarik diri

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam yang mendengar kes khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza menjadi kelam-kabut seketika apabila hakim syarie mahkamah itu tiba-tiba menarik diri.
Pengumuman Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengejutkan orang ramai yang berada di galeri awam mahkamah tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa penarikan dirinya daripada mendengar kes tersebut dibuat setelah dinasihatkan oleh Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Zohdi Toha.
Mahyuddin memberi alasan terdapat pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan spekulasi dan perbincangan secara terbuka berhubung prosiding kes syariah di media cetak dan elektronik yang sepatutnya diadili di Mahkamah Syariah.
"Tindakan itu telah menimbulkan subjudis dan boleh dianggap menghina mahkamah yang mana ia telah mendahului proses perundangan syariah," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak-pihak terbabit supaya menghormati perbicaraan dan kod etika kerja masing-masing supaya tidak mengganggu prosiding mahkamah.
Sementara itu, harapan aktor Norman Hakim dan pelakon muda Memey Suhaiza untuk melepaskan diri daripada tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini musnah apabila representasi mereka ditolak Ketua Pendakwa Syarie Selangor.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pegawai Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Nazri Basrawi yang mengendalikan pendakwaan terhadap kedua-dua pelakon itu.
"Setelah meneliti kertas pendakwaan, representasi yang dikemukakan peguam syarie tertuduh pada 26 Februari lalu untuk menggugurkan pertuduhan itu ditolak dan kami berhasrat untuk teruskan perbicaraan memandangkan saksi telah hadir hari ini," katanya.
Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Norman dan Memey turut mengesahkan perkara itu dan bersetuju supaya perbicaraan kes khalwat yang melibatkan mereka diteruskan.
Norman, 33, dan Memey, 21, yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini.]

sumber-kosmo!

No comments:

Post a Comment